Latest Entries »

Followers

Sunday, October 3, 2010

Syawal bulan pertama selepas bulan tarbiyyah.

Segala puji kita panjatkan ke atas Allah s.w.t tuhan semesta alam. Selawat dan salam kita ucapkan buat rasul junjungan sayyidina Muhammad Sollallahu 'alaihi wasallam contoh serta qudwah hasanah secara keseluruhannya.

Kita bersyukur kepada Allah s.w.t kerana memberikan peluang kepada kita untuk menyempurnakan bulan Ramadhan yang kita anggap sebagai bulan tarbiyyah kurniaan Allah s.w.t sebagai hadiah istimewa buat umat nabi Muhammad Sollallahu 'alaihi wasallam. Kita mengisi bulan ini dengan pelbagai pengisian sebagai bekalan untuk 11 bulan yang seterusnya. Mudah-mudahan segala amalan kita dapat mencapai apa yang diperintahkan olehnya.

Firman Allah s.w.t,

ولتكمل العدة ولتكبر الله على ما هداكم ولعلكم تشكرون

" Dan supaya kamu menyempurnakan bilangan puasa itu dengan secukupnya dan supaya kamu bertakbir membesarkan Allah s.w.t serta mengagungkannya di atas petunjuknya kepada kamu supaya kamu bersyukur ".

Seterusnya kita diberi satu lagi hadiah berharga iaitu hari raya 'idul fitri tanda kemenangan buat seluruh umat Islam yang beriman dan bertaqwa. Hari ini kita kembali kepada fitrah manusia yang sebelumnya Allah sekat sementara sebagai tarbiyyah buat hambanya.

Namun perkara yang paling besar yang harus kita syukuri adalah fitrah yang paling besar yang dikurniakan oleh Allah s.w.t kepada kita umat Islam iaitu agama Islam. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada kita untuk mengisi keislaman kita dengan iman yang sempurna dan amal yang soleh.

Kita telah pun sebulan menjadi tetamu istimewa Allah s.w.t di dalam bulan Ramadhan dengan hidangan amalan soleh yang berlipat kali ganda. Betapa besarnya nilai bulan ini di sisi Allah sehinggakan Allah menyebut di dalam kitab sucinya,

"كل عمل ابن آدم له الا الصوم فاءنه لي وأنا أجزي به يدع طعامه وشرابه وشهوته من أجلي"

" Setiap amalan manusia terpulang padanya (iaitu sekurang-kurangnya sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda) melainkan puasa kerana balasannya di sisi aku kerana dia sanggup meninggalkan makan, minum dan syahwatnya kerana aku ".

Seterusnya, harus kita fahami segala perintah Allah dan segala larangannya yang dijadikan modul di dalam bulan tarbiyyah ini adalah untuk melahirkan satu sifat yang sangat tinggi darjatnya di sisi Allah iaitu sifat at-Taqwa. Allah menuntut kita agar menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia serta seluruh makhluknya yang lain. Justeru, hanya sifat at-Taqwa sahaja yang dapat menyempurnakan ciri-ciri tersebut. Oleh kerana itulah Allah tidak mengukur kemuliaan hambanya dengan keturunan, warna kulit, bangsa dan puak serta harta benda dan pangkat tetapi dia memandang martabat manusia yang mulia adalah at-Taqwa.

Firman Allah s.w.t,

يا أيها الناس انا خلقناكم من ذكر وأنثى وجعلناكم شعوبا وقبائل لتعارفوا ان أكرمكم عند الله أتقاكم

Sebelum datangnya bulan syawal kita diajar bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadhan dan wajib berpandu dengannya dalam segenap aspek. Lalu hanya orang yang memiliki sifat at-Taqwa inilah yang mampu menjadikan al-Quran sebagai panduan mereka.

Firman Allah s.w.t,

ذلك الكتاب لا ريب فيه هدى للمتقين

" Inilah dia kitab yang tiada keraguan padanya yang menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa ".

Dengan sifat at-Taqwa inilah yang menjadikan mereka yakin bahawa al-Quran adalah penyembuh segala penyakit masyarakat hari ini.

Lagi firman Allah s.w.t,

ان هذا القرآن يهدى للتي هي أقوم وننزل من الكتاب ما هو شفاء ورحمة

Justeru jika masih berada dalam keadaan ragu kepada al-Quran, maka ayuh koreksi diri kita adakah kita berjaya mengharungi madrasah ramadhan dengan sebaik mungkin dan berjayakah kita mengamalkannya di dalam bulan-bulan selepas itu.Bulan yang pertama selepas bulan Ramadhan adalah bulan Syawal, lalu adakah kita dapat mengekalkan hasil tarbiyyah di dalam bulan Ramadahan di dalam bulan ini dan bulan-bulan seterusnya.

Allah mengurniakan hambanya yang berjaya mengharungi tarbiyyah tersebut dengan hari raya 'idul Fitri. Bahkan, Allah menambah lagi hadiah istimewa daripadanya yang datang dalam bentuk tarbiyyah iaitu puasa 6 hari di dalam bulan Syawal.

Sabda nabi Sollallahu 'alaihi wasallam,

من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر

" Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan mengikutinya dengan puasa enam hari di dalam bulan Syawal maka puasanya seperti puasa setahun ".

Begitulah besarnya keistimewaan yang Allah berikan kepada umat nabi Muhammad Sollallahu 'alaihi Wasallam sesuai dengan kemampuan kita. Namun apa yang pasti sebelum kita mendapat kelebihan ini kita mesti melalui proses tarbiyyah terlebih dahulu. Inilah cara didikan Allah s.w.t. Maka tidak akan mendapat ganjaran yang sebesar ini bagi mereka yang tidak melalui proses ini dan ingin melalui dengan cara yang mudah.

Contohnya, ada yang menyatakan, jika puasa enam telah ,menyamai puasa setahun maka kita tidak perlulah berpuasa di bulan Ramadhan. Jawapannya, nabi tidak menyebut puasa enam sahaja di dalam hadis di atas, akan tetapi nabi menyatakan mesti melakukan puasa ramadhan terlebih dahulu. Justeru jika inginkan ganjaran puasa setahun maka wajib kita melakukan puasa Ramadhan terlebih dahulu sebelum melakukan puasa enam hari di bulan Syawal.

Maka semestinya kita meneruskan segala hasil tarbiyyah Allah ini di dalam bulan Syawal ini dan bulan-bulan yang lain. Syurga itu perkara yang manis, maka jika ingin mendapatkannya kita perlu melalui perkara yang susah bagi hawa nafsu.

Masih banyak lagi proses-proses tarbiyyah yang diajar oleh Allah s.w.t kepada golongan-golongan terdahulu di dalam bulan Ramadhan. Diantaranya peristiwa-peristiwa yang ma'ruf oleh kita semua seperti peperangan badar, fathu makkah, nabi dan para muslimin ke tabuk menentang Rom, Islam sampai ke Yaman, khalid al-Walid meruntuhkan berhala al-'Uzza, penduduk Thaif masuk Islam, pembukaan Andalus oleh Thariq bin Ziyad, tentera Islam pimpinan Sultan Qutuz mengalahkan tentera Mongol di Ain Jalut, tentera uthmaniah pimpinan Mukhtar Basya mengalahkan tentera Rusia dalam peperangan Yakhliz, Israel tewas di tangan arab Islam di sempadan israel dan banyak lagi.

Justeru, bulan syawal inilah kita sebagai mahasiswa Islam perlu memulakan langkah untuk
memperkukuhkan lagi kefahaman dengan pengajian ilmu dan menterjemahkannya di medan amal islami. Kerana kemenangan Islam tidak datang dengan begitu mudah tanpa jihad dan tadhiyyah. Sahabat nabi Khabbab bin 'Aradh R.A yang tubuhnya telah menjadi terlalu buruk kerana siksaan yang teruk oleh musuh Islam pernah meminta kepada nabi supaya mendoakan agar Islam segera diberi kemenangan. Lalu nabi menjawab bahawa Khabbab R.A terlalu gopoh. Nabi menyatakan bahawa kita masih belum layak untuk menang kerana nabai-nabi dan pejuang Islam terdahulu lebih teruk siksaannya daripada apa yang menimpa Khabbab R.A. Mereka digergaji kepalanya, dilapah dagingnya sehingga jatuh ke bumi. Namun mereka mempertahankan aqidah Islam mereka yang salim. Lalu mereka diberi kemenangan.

Mari kita sama-sama membina kefahaman. Dimana kefahaman ini boleh kita dapat?, caranya kita kembali melihat kepada sirah nabawiah bahawa nabi dapat melahirkan generasi Islam yang penuh dengan ke'izzahan dengan konsep usrah yang bermula di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Justeru, sama-sama kita perkasakan usrah. Usrah tunjang tarbiyyah.

Ahmad Muzani bin Abd Rahman

Tahun 2,

Kuliah Syariah Islamiah,
Universiti Al-Azhar.

0 comments: