sumber:dewan ulama' PAS.
Tasauf adalah manhaj tarbiyah ruhiyah dan sulukiyah yang mengangkat manusia kepada
martabat ihsan yang dinyatakan oleh Nabi Muhammad SAW yang bermaksud : "Hendaklah
kamu menyembah Allah seolah-olahnya kamu melihatnya, maka jika kamu tidak melihatnya
maka sesungguhnya dia (Allah SWT) melihatmu".
Maka tasauf itu merupakan program pendidikan (tarbiyah) yang menitik beratkan penyucian
jiwa daripada pelbagai penyakit yang mendindingi manusia daripada Allah SWT. Ia juga
membetulkan penyelewengan jiwa dan sulukiyah manusia dalam hubungan bersama Allah SWT,
bersama yang lain dan juga dengan diri sendiri.
Tarekat sufiah pula ialah sebuah madrasah yang menyempurnakan melaluinya penyucian jiwa
dan pembentukan peribadi. Syeikh pula sebagai pembimbing atau guru yang bersama-sama
dengan muridnya.
Jiwa manusia secara tabiatnya terangkum di dalamnya pelbagai himpunan penyakit seperti
takabbur, ujub, angkuh, keakuan, bakhil, marah, riya', sukakan maksiat, berkelakuan tak
senonoh, gemar membalas dendam, kebencian, dengki, khianat, tamak dan rakus.
Firman Allah SWT yang mendedahkan kisah isteri Al-Aziz:
وَمَا أُبَرِّئُ نَفْسِي إِنَّ النَّفْسَ لأمَّارَةٌ بِالسُّوءِ إِلا مَا رَحِمَ رَبِّي إِنَّ رَبِّي غَفُورٌ رَحِيمٌ
Yang bermaksud : "Dan aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya
nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku.
Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang". [Surah Yusuf: 53]
Kerana itulah, golongan terdahulu menginsafi hal ini dan menyedari betapa perlunya
pentarbiyahan jiwa dan membersihkannya dari segala penyakit-penyakitnya agar (penyucian
tersebut) bersekali dengan masyarakat serta mencapai kejayaan dalam perjalanan menuju
tuhan mereka.
Tarekat sufiah hendaklah melengkapi dengan beberapa perkara.
Pertamanya ialah pegangan kukuh dengan kitab Al-Quran dan Sunnah Nabawiah. Ini kerana
tarekat sufiah itu ialah manhaj kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Setiap perkara yang
bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah maka ia bukan daripada tarekat. Bahkan tarekat
itu sendiri menolaknya dan melarang daripadanya.
Kedua ialah tidak meletakkan tarekat itu sebagai pengajaran yang terpisah daripada pengajaran
syariah, bahkan ia merupakan intisari kepada syariah.
Bagi tasauf terdapat tiga elemen utama yang digesa oleh Al-Quran akan ketiga-tiganya iaitu :
1-Menitikberatkan jiwa, sentiasa mengawasi jiwa (muraqabah) dan menyucikannya daripada
sebarang kekotoran.
Firman Allah SWT:
وَنَفْسٍ وَمَا سَوَّاهَا ، فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا ، قَدْ أَفْلَحَ مَنْ زَكَّاهَا ، وَقَدْ خَابَ مَنْ دَسَّاهَا
Yang bermaksud: "Dan jiwa serta penyempurnaannya (ciptaannya), maka Allah mengilhamkan
kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang
mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya". [Asy-Syams : 7-10]
2-Memperbanyakkan zikrullah.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا
Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah,
zikir yang sebanyak-banyaknya". [Al-Ahzab: 41]
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah
mengingati Allah SWT".
3-Zuhud di dunia, tidak terikat dengan dunia dan gemarkan akhirat.
Firman Allah SWT:
وَمَا الْحَيَاةُ الدُّنْيَا إِلا لَعِبٌ وَلَهْوٌ وَلَلدَّارُ الآخِرَةُ خَيْرٌ لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ أَفَلا تَعْقِلُونَ
Yang bermaksud : "Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau
belaka. Dan sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.
Maka tidakkah kamu memahaminya?". (Al-Anaam : 32)
Adapun syeikh yang memperdengarkan kepada murid-muridnya akan zikir-zikir dan yang
membantu usaha menyucikan jiwa dari sebarang kekotoran serta menyembuhkan hati mereka
daripada penyakit-penyakit maka dia adalah penyelia (qayyim) atau seorang guru (ustaz) yang
menunjukkan cara yang tertentu yang paling sesuai dengan penyakit yang ada atau keadaan
murid itu sendiri.
Petunjuk Nabi SAW juga menasihatkan setiap manusia dengan perkara yang mendekatkan diri
kepada Allah SWT berdasarkan kepada keadaan setiap jiwa yang berbeza. Pernah seorang lelaki
datang menemui Rasulullah SAW, lalu dia berkata : Wahai Rasulullah ! Beritahu kepadaku
tentang sesuatu yang menjauhkan diriku daripada kemurkaan Allah SWT. Maka sabda
Rasulullah SAW : Jangan kamu marah !. Dalam kes yang lain, Rasulullah SAW didatangi seorang
lelaki yang berkata kepada Rasulullah SAW : Beritahu kepadaku tentang sesuatu yang aku boleh
berpegang dengannya ! Jawab Rasulullah SAW : Sentiasakanlah lidahmu dalam keadaan basah
mengingati Allah SWT.
Di kalangan para sahabat terdapat golongan yang membanyakkan qiamullail, antara mereka
juga yang memperbanyakkan bacaan Al-Quran, ada yang banyak terlibat dengan jihad, ada
yang banyak berzikir dan ada yang membanyakkan bersedekah.
Perkara ini tidak membawa erti meninggalkan terus keduniaan. Tetapi di sana terdapat suatu
ibadat tertentu yang memperbanyakkannya oleh orang yang melalui jalan menuju Allah SWT.
Secara asasnya berbilang-bilangnya pintu-pintu syurga. Tetapi pada akhirnya walaupun ada
kepelbagaian pintu masuk tetapi syurga tetap satu.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud : "Setiap golongan yang melakukan amalan (baik dan soleh-
ketaatan) ada satu pintu daripada pintu-pintu syurga yang memanggilnya oleh amalan, dan bagi
puasa itu ada satu pintu yang memanggil golongan yang berpuasa, digelarkannya ar-rayyan".
Demikian juga tarekat-tarekat, ia mempunyai berbilang-bilang jenis berdasarkan syeikh
masing-masing dan murid masing-masing. Antara mereka ada yang mengutamakan puasa, ada
yang mengutamakan al-Quran lebih banyak dan tidak mengabaikan puasa dan demikianlah
seterusnya.
Apa yang dijelaskan di atas adalah tasauf yang sebenarnya, tarekat yang sahih dan syeikh-
syeikh yang komitmen dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Kita juga telah mengetahui kenapakah
berbilang-bilangnya jenis tarekat, iaitu kerana kepelbagaian cara pentarbiyahan dan rawatan
serta perbezaan cara untuk mencapai maksud yang dicita-citakan. Akan tetapi keseluruhannya
satu sahaja pada maksud dan tujuan iaitulah keredhaan Allah SWT sebagai tujuan utama.
Kami juga ingin mengingatkan bahawa apa yang dinyatakan di atas tidak dilaksanakan oleh
sebilangan besar golongan yang mendakwa sebagai ahli tasauf iaitu golongan yang merosakkan
bentuknya. Mereka di kalangan orang yang tidak mempunyai agama dan kebaikan. Mereka
yang melakukan tarian pada hari-hari perayaan dan melakukan amalan keghairahan yang
khurafat. Ini semua bukan daripada tasauf dan bukan dari jenis tarekat sufiah. Sesungguhnya
tasauf yang kami nyatakan tentangnya tiada hubungan langsung dengan pandangan
kebanyakan manusia berhubung fenomena negatif yang memburukkan. Tidak harus juga bagi
kita untuk mengenali tasauf dan menghukumkan ke atasnya dari kalangan sebahagian
pendakwa-pendakwa tasauf yang jahil (yang mendakwa tarekat sebagai ajaran yang salah).
Sepatutnya kita bertanyakan ulama' yang memilih tasauf sehingga kita memahami punca
sanjungan mereka terhadap tasauf.
Untuk akhirnya, kami mengambil kesempatan ini untuk membantah pendapat golongan yang
menyatakan : "Kenapakah tidak dipelajari adab-adab sulukiyah dan penyucian jiwa dari
Al-Quran dan As-Sunnah secara langsung?".
Pendapat ini pada zahirnya terkandung rahmat. Tetapi pada hakikatnya terkandung azab. Ini
kerana kita tidak mempelajari rukun sembahyang, sunat-sunat sembahyang dan perkara-
perkara makruh dalam sembahyang dengan semata-mata melalui bacaan Al-Quran dan
As-Sunnah. Tetapi kita mempelajarinya melalui suatu ilmu yang dikenali sebagai ilmu feqah.
Fuqaha' telah menyusunnya dan mengistinbatkan semua hukum-hakam tersebut daripada
Al-Quran dan As-Sunnah. Bagaimana pula lahirnya kepada kita mereka yang mendakwa
bahawa kami mempelajari fiqh dan hukum agama daripada kitab dan sunnah secara langsung?
Kami tidak pernah mendapati seorang ilmuan/ulama' yang mempelajari fiqh daripada kitab dan
sunnah secara terus.
Demikian juga, di sana terdapat perkara yang tidak disebut oleh Al-Quran dan As-Sunnah.
Tetapi tidak dapat tidak daripada mempelajarinya dengan guru secara musyafahah (secara
berdepan atau mengadap guru).
Tidak boleh sekadar melalui kitab, sebagai contohnya ilmu tajwid. Bahkan mestilah beriltizam
dengan mustalah-mustalah yang khusus dengannya. Maka ulama' menyatakan sebagai suatu
contoh : "Mad Lazim enam harakat" ! Siapakah yang menjadikannya sebagai mad lazim? Apa
dalilnya dan siapakah yang mewajibkannya ke atas ummat Islam? Tentunya mereka adalah
ulama' dalam bidang tersebut.
Begitu juga dengan ilmu tasauf. Ilmu yang diasaskan oleh ulama'-ulama' tasauf sebermula zaman
Junaid rahimahullah dari kurun yang keempat sehingga hari ini. Ketika rosaknya zaman
tersebut dan rosaknya akhlak, rosaklah juga sebahagian tarekat-tarekat kesufian. Mereka mula
bergantung dengan fenomena-fenomena yang bercanggah dengan agama Allah SWT. Lantas
manusia menganggap ianya merupakan tasauf. Sedangkan Allah SWT akan mempertahankan
tasauf, ahlinya dan melindungi mereka dengan kekuasaannya.
Firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُدَافِعُ عَنِ الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ اللَّهَ لا يُحِبُّ كُلَّ خَوَّانٍ كَفُورٍ
Yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah membela orang-orang yang telah beriman.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai tiap-tiap orang yang berkhianat lagi mengingkari nikmat".
[Al-Hajj: 38]
Mudah-mudahan apa yang dinyatakan itu dapat memberikan pendedahan kepada erti tasauf,
tarekat, syeikh, sebab berbilang-bilangnya tarekat, kenapa kita mempelajari suluk, penyucian
hati dari ilmu yang dikenali sebagai tasauf ini, kenapa kita ambil dari syeikh dan tidak terus
kembali kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Kita memohon kepada Allah untuk memperlihatkan secara jelas terhadap urusan-urusan agama
kita.Dalam konteks Malaysia, sebenarnya agak banyak dakwaan tarekat walhal sebenarnya ia
adalah ajaran sesat. Justeru saudara perlu berhati-hati dan sering merujuk ulama' yang diiktiraf
keilmuannya. Penyertaan dalam tarekat juga sepatutnya lebih menyemarakkan penglibatan
dalam memartabatkan ketuanan Islam bukannya meruntuhkan ketuanannya seperti
mendokong perjuangan Nasionalisme atau Sekularisme atau gerakan yang menentang
perjuangan Islam.
Suasana pengamalan tarekat di Malaysia khususnya perlu diberikan perhatian bagi yang ingin
menyertainya. Semestinya guru atau syeikh pemimpin tarekat itu merupakan seorang yang
faqeh atau alim dalam bidang syariat dan aqidah. Bukannya seseorang yang hanya alim dalam
bidang tasauf atau tarekat semata-mata. Ini kerana sebarang pengamalan beribadat dalam
agama hendaklah dipandu oleh Al-Quran dan juga As-Sunnah. Justeru, seorang guru yang alim
tentang syariah, aqidah dan tasauf merupakan guru yang sepatutnya dipilih untuk membimbing
kita.
ALLAHUMMA INFA'NA MA 'ALLAMTANA WAZIDNA 'ILMA..
Latest Entries »
Followers
Wednesday, June 3, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment